Selasa, 5 Mac 2013

20 Perkara Tentang Sabah


Senarai perkara

Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Perkara 2: Bahasa

  • Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan
  • Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia
  • Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".

Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan :
  • Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun
  • Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun"
  • Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.

Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.

Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang Di Pertua Negara.

Perkara 19: Nama Negeri

Sabah.

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara. Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

By : Eyanz Rezky

Orang Sabah Harus Tahu






SABAHAN HARUS BACA DAN HARUS TAHU...
Sabah di bawah jajahan Malaya...
di bawah ini adalah pesanan dpd Dr Jeffrey Kitingan untk rakyat Sabah....
Baca, jgn tidak baca....
“Saya bukanlah mahu mencari kedudukan tetapi hanya mahu melihat kamu bebas, aman, gembira dan maju. Masa telah sampai bagi rakyat untuk menentukan sendiri masa depan tanahair ini, supaya hasil kesemua sumbangan, kerja, persaingan dan kerjasama dinikmati bersama, tanpa mengira tempat asal dan kepercayaan masing-masing. Inilah destinasi kita. Marilah kita bergerak bersama kearah itu.”

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

4 Mac 1991

Teman-teman dan rakyat Sabah yang dikasihi.

Kamu mungkin telah mendengar ataupun membaca ucapan Mahathir yang tidak ditapis di dalam suratkhabar pada 21 Februari 1991. Saya baru saja mengetahuinya. Kenyataan Mahathir bahawa Sabah adalah tanah jajahannya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Dia sendiri telah membawa UMNO ke Sabah untuk memastikan penguasaan sepenuhnya ke atas rakyat Sabah. Dia tidak mahu menghormati pemimpin yang kita pilih. Dia hendak melantik pemimpinnya sendiri dan menentukan sendiri haluan untuk mereka. Dia berpendapat bahawa Sabah adalah naungannya dan dia boleh berbuat apa saja yang dia suka. Dia juga berfikir yang tiada siapa yang dapat menghalangnya mahupun pemimpin dari Kuala Lumpur – malah mereka juga mengancam dengan menggunakan tentera, polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tujuan sebenar Kuala Lumpur akhirnya diketahui. Mahathir bertujuan manghapuskan 20 Perkara yang menjadi asas utama persetujuan Sabah untuk menjadi salah satu ahli Persekutuan Malaysia. Rancangan tersebut adalah sengaja dibuat untuk mengurangkan status rakan kongsi (partner) menjadi tanah jajahan Malaya sahaja.

Kenyataan bekas Presiden Sukarno dari Indonesia adalah tepat apabila beliau member amaran semasa pembentukan Malaysia, bahawa status Sabah sebagai tanah jajahan tidak akan berubah melalui penubuhan Malaysia, beliau mengatakan bahawa apa yang berubah hanyalah pertukaran pejabat penjajah dari London ke Kuala Lumpur. Kejadian-kejadian dan tindakan-tindakan Kuala Lumpur sejak 1963 telah membuktikan bahawa pendapat itu adalah benar.

Rakyat Sabah telah diajak secara tergesa-gesa dan pemimpin-pemimpin kita telah ditipu membentuk Persekutuan Malaysia. Bacalah semua buku-buku dan fakta-fakta tentang pembentukan Persekutuan Malaysia dan peristiwa-peristiwa yang terjadi selepasnya dan anda semua akan dapat memahami.

Pemimpin-pemimpin kita walaupun berat hati tapi akhirnya bersetuju menjadi sebahagian daripada ahli persekutuan yang baru, dengan jaminan beberapa syarat haruslah dipersetujui. Selepas beberapa siri rundingan, pemimpin-pemimpin Sabah termasuk Tun Mustapha, Tun Fuad Stephens, Khoo Siak Siew, pemimpin-pemimpin dari Malaya dan wakil British telah bersetuju tentang apa yang dipanggil sebagai Syarat-Syarat DUA PULUH PERKARA. Syarat-syarat ini adalah SANGAT-SANGAT PENTING kerana ianya bermakna bahawa Sabah sebenarnya telah memperolehi kemerdekaan melalui Malaysia. Ini adalah tujuannya dan dipersetujui oleh kesemua pihak yang terlibat pada waktu itu. Kita semua menyokong ini.

Walau bagaimanapun segala-galanya telah berubah. Sebaik sahaja kita menumpukan perhatian ke dalam bidang politik, social dan pembangunan ekonomi, kebanyakan daripada bekas pemimpin kita semakin mementingkan status dan kepentingan mereka sendiri dan tidak lagi mengambil berat tentang apa yang berlaku ke atas negeri secara keseluruhan.

Apabila para pemimpin ini mabuk kuasa, kekayaan dan pembangunan, para pemimpin Kuala Lumpur telah mengambil peluang ini untuk mengubah status Sabah daripada sebuah negeri merdeka yang bersekutu dengan Malaya dan Sarawak (serta Singapura) kepada apa yang kita sedang alami sekarang – kembali kepada jajahan. Lebih buruk lagi, dalam proses ini pula, pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur juga telah menyebabkan rakyat Sabah menyerahkan hak minyak mereka, tanah dan hutan – kesemua ini dibuat dengan secara halus dan teratur supaya rakyat Sabah tidak menyedari bahawa perkara itu telah berlaku.

Saya adalah salah seorang yang menyedari apa yang sedang berlaku dan sedar ke mana kita akan dibawa. Tanpa mengambilkira apakah yang akan terjadi kepada saya dan keluarga saya dan sebagai seorang yang bernasib baik, berada dalam kedudukan, berpendidikan dan berstatus, saya telah merasakan bahawa adalah menjad tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Sabah tulin untuk membetulkan semua ini, dengan membangkitkan isu 20 Perkara dan membongkar sikap Kuala Lumpur yang tidak adil kepada Sabah, terutamanya sejak 1985.

Saya percaya perkara-perkara yang lain anda semua sudah tahu. Sekarang anda semua faham, mengapa Kerajaan Persekutuan tidak pernah berhenti untuk menganggu saya dan pemimpin-pemimpin PBS. Sekarang anda semua tahu apa sebenarnya yang BPR hendakkan dari saya.

Kuala Lumpur tahu dan Mahathir pun tahu bahawa saya adalah BENAR. Mereka lebih suka untuk menghapuskan pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai seperti saya kerana mempersoalkan tindakan-tindakan mereka daripada mengakui kebenaran tentang apa yang mereka telah lakukan. Mereka, Mahathir dan sesetengah daripada mereka (bukan semua pemimpin Kuala Lumpur seperti mereka) memang boleh menghapuskan saya dan sesiapa juga yang sependapat dengan saya, kerana mereka mempunyai semua peralatan kuasa yang menyebelahi mereka – polis tentera, BPR, ISA, JHDN, OSA dan lain-lain lagi.

Beritahu saya, adakah salah bagi saya berjuang untuk negeri dan rakyat? Adakah saya salah mempersoalkan Kuala Lumpur? Patut atau tidakkah saya meminta bahagian daripada royalti minyak yang lebih munasabah bagi negeri ini? Adakah salah bagi saya berjuang untuk membebaskan Sabah daripada penjajahan? Adakah salah bagi saya mendidik masyarakat Sabah tentang fakta-fakta yang benar tentang Negara kita dan keadaan kehidupan kita?

Adakah salah bagi saya memperkenalkan idea-idea yang baru dan bercorak revolusinari dalam pembangunan, mengurangkan kemiskinan dan pengangguran dan mengembalikan nilai-nilai dan harga diri kepada rakyat? Jikalau saya salah, maka kita semua adalah salah kerana berada dalam kebenaran.

Adalah lebih mudah bagi saya untuk tidak terlibat di dalam soal-soal rakyat, negeri dan negara. Mungkin ada orang yang bertanya mengapa harus saya mengambil berat tentang semua ini? Benar, jika saya hanya mengabil berat tentang diri saya dan kepentingan keluarga saya sahaja dan jika saya kedekut – adalah lebih baik saya tidak melibatkan diri. Saya boleh mengekalkan kedudukan saya, bersenang-lenang dengan gaji besar dan ketawa tentang apa yang berlaku.

Jika saya mengambil hati para pemimpin persekutuan dan member rasuah kepada pegawai-pegawai penguatkuasa dan sebagainya, saya akan dilindungi dan tidak ada apa-apa yang akan berlaku kepada saya. Adakah ini yang kamu ingin lihat dari saya? Saya fikir tidak. Salah seorang mesti berkorban. Namun, pengorbanan ini akan menjadi sia-sia dan tidak bererti tanpa sokongan dan dorongan anda semua. Anda semua adalah satu-satunya kuasa yang boleh menghentikan Mahathir dan membebaskan kita sekali lagi dari belenggu penjajahan.

Sekiranya kebangkitan Perkara 20 dan mempersoalkan sikap Kuala Lumpur dan tindakannya ke atas Sabah diinteprestasikan oleh Mahathir sebagai hasutan kepada rakyat Sabah untuk membenci rakyat di Semenajung Malaysia, maka dia semestinya samada bodoh atau penipu. Saya mempunyai ramai teman-teman di Semenanjung Malaysia dan telah mengenali saya dan kenal siapakah saya ini. Terdapat juga saudara-mara saya yang berkahwin dengan orang Semenanjung.

Saya menyemai rasa muhibah dan bukan kebencian. Mahathir sendirilah yang memperkenalkan dan mengundang kebencian. Dia telah mencaci pemimpin-pemimpin sabah yang dipilih dan dengan sengaja membohongi dan menipu rakyat Malaysia terutama dan dari segi isu-isu agama dan bangsa. Ingatkah anda dengan kes ‘sigar’ (tanjak) yang melibatkan Tengku Razaleigh?

Sewaktu saya berjumpa dengan Dr Mahathir pada Mei 1990, saya berbincang dengan beliau tentang beberapa isu. Saya memberitahu beliau bahawa saya bukan bertujuan untuk membincangkan masalah peribadi tetapi isu-isu yang berkaitan dengan hubungan persekutuan negeri. Salah satu daripada nasihat yang beliau berikan pada saya tentang 20 Perkara ialah, beliau berkata:

“Jeffrey, orang-orang kampung tidak tahu tentang hak-hak negeri Sabah dan 20 Perkara, kenapa kita harus memberitahu mereka? Laporan dari Special Branch (Polis SB) mengatakan bahawa kamu dan IDS bertanggungjawab memberitahu rakyat…”

Buat seketika saya tidak dapat mempercayai kata-katanya sebab dia adalah Perdana Menteri Negara yang memberitahu saya untuk menipu rakyat yang mana sepatutnya menjadi tugas kita untuk mendidik mereka.

Apabila saya bertanya kepada Mahathir untuk menambah royalty negeri ini daripada pendapatan minyaknya, dia berkata:

“kamu bernasib baik Kerajaan Persekutuan member kamu lima peratus. Ingat bahawa tidak ada minyak di Sabah sehinggalah Malaysia wujud…”

Apa yang diperkatakan oleh Mahathir ialah negeri ini tidak mempunyai hak kepada minyak dan hasil buminya dan bukan Tuhan yang memberikan kita minyak tetapi Malaysia yang memberikannya.

Tentang hal-hal tanah, Dr Mahathir berkata adalah amat susah untuk pihak negeri melepaskan dan meluluskan tanah apabila Agensi Persekutuan memerlukannya. Dia berkata tanah seharusnya dikawal oleh Persekutuan.

Ini memperlihatkan objektif jangka panjang Mahathir – untuk mengawal tanah dan hutan di mana ia masih di bawah kuasa kerajaan negeri seperti mana yang termaktub di bawah 20 Perkara.

Objektif lain Mahathir ialah untuk menjadikan Sabah sebagai tanah jajahan atau sebahagian daripada Malaya. Dia berkata:

“hak-hak negeri adalah sementara. Sabah adalah sepatutnya sama seperti Kedah ataupun Perlis…”

Ini adalah jelas bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Allayaraham Tunku abdul Rahman sewaktu pembentukan Malaysia, bila mana dia berkata:

“Sabah dan Sarawak tidak akan menjadi negeri yang ke-13 atau ke-14 negeri-negeri Malaya kerana mereka akan masuk sebagai rakan yang sama taraf (dengan Malaya) dan mendapat kuasa dan status yang sama…”

Apabila Malaysia ditubuhkan pada September 1963, satu perjanjian yang dipanggil Perjanjian Malaysia telah ditandatangani, di antara Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak – terikat dengan syarat-syarat perjanjian tersebut. Syarat-syarat itu adalah seperti perikatan di antara mereka, jadi jika salah satu rakan akan “renege” atau undur diri ia akan memberi kesan kepada syarat-syarat untuk rakan-rakan yang lain dan memerlukan penilaian semula, dan perjanjian baru harus ditandatangani oleh rakan-rakan yang tinggal. Singapura keluar dari Persekutuan pada 1965 dan ini telah membatalkan Perjanjian Malaysia yang mana menjadi asas kepada Persekutuan Malaysia.

Bagi saya, kecuali Malaya, Sabah dan Sarawak berbincang bersama dan mengkaji semula untuk sahkan atau ubah Perjanjian Malaysia yang telah tidak sah, asas perundangan penubuhan Malaysia tidak lagi sah. Mengapa kita tidak melakukannya? Kenapa mereka takut untuk membincangkannya? Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Persekutuan, terutama Mahathir, menggunakan ancaman dan tangkapan untuk menghapuskan kita. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang.

Maka itu saya sangat-sangat tertekan dan terkejut dengan tindakan yang tidak adil, di mana Perdana Menteri negara kita membuat tuduhan-tuduhan yang liar dan tuduhan tidak benar terhadap saya, IDS dan kerajaan negeri PBS yang telah dipilih secara demokratik.

Berdasarkan dari kenyataan-kenyataan akhbar yang dibuat oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain semasa lawatan mereka ke Kota Kinabalu minggu lepas, rakyat Sabah dan dunia keseluruhannya melihat bahawa “kuasa adalah benar”.

Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin kebangsaan yang lain datang ke Sabah untuk memperlihatkan kuasa dan kekuatan mereka. Mereka datang untuk menunjukkan bahawa selagi mereka mempunyai kuasa persekutuan, polis dan tentera serta orang-orang di Sabah yang sanggup mengutamakan cita-cita mereka untuk melaksanakan kehendak UMNO di negeri ini dan rakyatnya. Pemimpin-pemimpin tersebut bersedia untuk menutup mata mereka terhadap hak-hak sah kerajaan negeri PBS untuk memerintah dengan aman tanpa penindasan.

Ini merupakan hari yang sedih untuk rakyat Sabah, Malaysia dan generasi akan datang. Sekarang saya dapat memahami sepenuhnya dan bersimpati dengan mereka yang berada di dalam perhimpunan USNO yang mana secara terbuka tanpa malu-malu mengeluarkan airmata. Mereka ini bersetuju dengan kami yang cintakan negeri ini dan ingin mengekalkan hak-hak asasi kita, mereka betul-betul kecewa melihat pemimpin-pemimpin kita di Sabah yang bersedia untuk menyerahkan kuasa politik dan negeri kepada Mahathir.

Mahathir telah membuat tuduhan yang serius terhadap saya. Dia berkata bahawa saya terlibat dengan komplot mengeluarkan Sabah dari Malaysia dan kononnya saya bercita-cita menjadi Presiden kepada negeri Sabah yang merdeka. Tuduhan-tuduhan ini dibuat dengan tujuan untuk mendapatkan sorakan yang kuat dari wakil-wakil USNO dan para pemerhati. Apakah yang terjadi dengan hak-hak saya sebagai warganegara Malaysia? Siapa yang memberikan hak-hak kepada Perdana Menteri untuk menganiaya seseorang rakyat Malaysia di hadapan orang ramai dan TV serta melalui media massa ke seluruh dunia? Adakah Perdana Menteri kita berdiri di atas undang-undang? Adakah undang-undang Malayisa hanya untuk keluarga Kitingan sahaja? Pemimpin-pemimpin PBS dan para pegawai negeri dan kepada sesiapa sahaja yang tidak menurut perintah Barisan Nasional?

Bagi saya, kelelakuan seperti ini adalah yang paling keji dan tidak mempunyai tempat di Negara ini yang kononnya Negara yang berprinsipkan demokrasi. Saya telahpun berbincang dengan peguam saya, apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Perdana Menteri dan yang lain-lain yang telah menghina dan menuduh saya.

Sekiranya, saya terlibat dengan semua yang dikatakan tersebut, Perdana Menteri sepatutnya menggunakan kuasa-kuasanya untuk menahan saya dan membawa saya ke muka pengadilan di mahkamah. Kenapa dia membuat banyak kenyataan-kenyataan yang dramatic semasa berpolitik? Sekiranya ia adalah berkaitan dengan keselamatan Negara, maka ia seharusnya diselesaikan menurut apa yang sepatutnya.

Kenapa dibangkitkan hanya sewaktu kongres USNO berlangsung? Dan ia masih mengatakan bahawa semua tindakan ini tidak ada kena mengena dengan campur tangan politik. Ini adalah hipokrit. Kenapa Jeffrey Kitingan dihukum oleh Mahathir setiap kali adanya perhimpunan USNO? Bagi saya, ianya adalah satu penganiayaan politik yang teruk dan kejam sekali.

Kita di Malaysia tidaklah buta. Mereka dapat melihat sekarang bahawa kerajaan negeri PBS adalah di bawah kuasa pusat melalui politik (UMNO), ancaman secara fizikal (penambahan tentera), penahanan ISA, BPR dan tindakan-tindakan JHDN sehinggalah adanya orang-orang yang dapat menerima kehendak mereka tanpa mempertikaikan mereka.

Adakah ini yang kita telah runding semasa kita bersetuju membentuk Malaysia pada tahun 1963? Tidak. Semestinya tidak. Kita tidak setuju untuk diperkecilkan seperti ini dan tidak bersetuju untuk dijajah oleh KL atau sesiapa pun.

Saya menyeru kepada kerajaan negeri PBS yang bertanggungjawab untuk mempertahankan hak-hak rakyat Sabah secara serius, untuk mempersoalkan tentang kedudukan Sabah di Malaysia bersama-sama dengan kerajaan persekutuan melalui saluran perundangan yang sah.

Apa gunanya menjadi kerajaan negeri apabila Ketua Menterinya dan pemimpin-pemimpinnya diketepikan dan tidak dipelawa untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri yang dating ke tanah Sabah? Siapakah sebenarnya yang memperkenalkan sentiment anti-Malaysia dan terlibat dengan tindakan-tindakan anti-Malaysia? Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO lah yang terlibat.

Saya tidak akan tunduk kepada komplot ancaman persekutuan terhadap saya dan kepentingan negeri Sabah. Saya akan berdiri dengan apa yang saya telah katakan di dalam 20 Perkara, hak-hak negeri, keperluan keadilan dan kesaksamaan layanan oleh kuasa persekutuan kepada Sabah sepertimana yang terkandung di dalam kenyataan-kenyataan saya dahulu.

UNTUK SEMUA RAKYAT SABAH: JANGAN PUTUS ASA, JANGANLAH SEKALI-KALI PUTUS HARAPAN, KERANA TUHAN AKAN MENOLONG KEPADA SESIAPA SAHAJA YANG BERJUANG UNTUK KEBEBASAN DAN KEADILAN.

Kepada kakitangan kerajaan, kepada kakitangan saya di YS, IDS dan ICSB – teruskan dan buatlah kerja anda semua dengan tenang, cekap dan dedikasi. Buatlah kerja kamu dengan sepenuh hati dan bertanggungjawab. Misi saya adalah untuk melihat supaya kita hidup di dalam keamanan dan bebas dari penindasan, tekanan dan ketidakadilan. Misi anda adalah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman kemiskinan dan kesakitan. Marilah bersama-sama membina satu negara yang progresif dari segi ekonomi, supaya kita semua boleh menjadi alat-alat TUHAN yang berkesan untuk melayani dan mencintai yang lain.

Kepada pelajar-pelajar, saya berseru kepada kamu untuk memberikan sepenuh perhatian kepada pelajaran kamu kerana kamulah pemimpin generasi akan dating. Gunakanlah masa dan fikiran kamu untuk memahami dan mencari kebenaran sejarah dan pembangunan kita. Janganlah bataskan diri kamu dengan apa yang diajar di sekolah atau di kolej, kerana mereka hanya memberikan satu pandangan sahaja kepada cerita tersebut. Teruskan dan carilah kebenaran. Fahami tentang apa dia kehidupan, dan apa dia kebebasan dan keadilan.

Baca 20 Perkara dan buku “Sabah Commemorative Book – Sabah 25 Years Later” dan lain-lain. Janganlah kamu mengambil keputusan selagi kamu belum tahu kebenarannya. Apabila kamu mengetahui kebenaran, kamu akan tahu apa yang hendak dibuat.

Kepada semua ibubapa, kamu adalah juru kemudi di lautan yang bergelora. Bimbinglah anak-anak kamu menuju kebenaran dan kedestinasi hidup yang betul. Beri tahu mereka apa yang berlaku kepada negara kita supaya mereka boleh mencorakkan satu masa depan yang cerah. Displin adalah perlu dipupuk tetapi selain daripada itu, kita juga perlu menanamkan sikap yang betul kepada anak-anak kita yang sentiasa belajar daripada ibubapa.

Kepada suami-suami, hormati dan jagalah isteri-isteri anda semua. Isteri adalah sebahagian daripada diri kamu. Dia adalah rakan dan pasangan. Dia mengetahui banyak perkara dan dia boleh membantu kamu untuk mengetahui perbezaan apa yang benar dan palsu – antara keputusan yang baik dan tidak baik. Jangan abaikan isteri kamu.

Kepada isteri-isteri, cintailah suami-suami kamu dan jagalah mereka dengan baik. Dia adalah pasangan kamu, rakan dan penasihat. Dia juga adalah penegur bilamana kamu membuat kesilapan. Tetapi suami-suami kamu juga memerlukan bimbingan kamu untuk mencari kebenaran dan memahami situasi kita di Sabah.

Kepada rakyat di Semenanjung Malaysia, kamu adalah saudara-saudara kami. Kami memerlukan kamu untuk memahami keadaan kami di Sabah. Kami tidak membenci kamu sepertimana yang diberitahu oleh pemimpin-pemimpin kamu. Pemimpin-pemimpin kamu hanya menanamkan bibit-bibit kebencian di antara kita semata-mata untuk kepentingan politik peribadi mereka. Kami ini adalah ditindas, diganggu, dan dilayan dengan tidak adil. Kami ini dijajah dan dikawal, sehinggakan kami kehilangan kebebasan demokrasi dan juga maruah.

Kami telah diberitahu bahawa kami telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1963 tetapi kami kini tidak lagi mengundi masa depan politik kami sendiri. Pemimpin-pemimpin dari Semenanjung Malaysia lah yang melakukannya. Tidak perlu bersimpati kepada perjuangan kami tetapi cubalah untuk memahami diri kami dan situasi yang kami hadapi. Hanya melalui ini, kamu dapat member sumbangan kepada kami. Dan hanya dngan begini sahajalah maka kamu akan mengetahui bagaimana pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur membohongi rakyat di Semananjung Malaysia.

Kepada peniaga-peniaga, pelabur-pelabur kamu yang sentiasa menggerakkan ekonomi, yang mana seterusnya membantu member nafkah kepada keluarga kami semua. Jangan hentikan pelaburan kamu. Bantulah supaya ekonomi berkembang, supaya tanah air ini menjadi makmur dan sesuai kepada perkembangan pelaburan-pelaburan. Bantulah supaya perjuangan rakyat Sabah Berjaya supaya kamu pun akan turut Berjaya.

Kepada pemimpin-pemimpin politik di Sabah, kamulah pemimpin-pemimpin jati. Pimpinlah rakyat menuju destinasi mereka. Berjuanglah untuk kebebasan dan keadilan mereka. Bebaskan tanahair ini dari ketidakadilan. Berpegang teguhlah kepada prinsip-prinsipmu. Jangan mudah tergoda untuk meninggalkan perjuangan mu semata-mata untuk beberapa ringgit sahaja. Jangan menganiayai rakyat kerana kepentingan peribadi, kekayaan dan kedudukan supaya tidak diganggu oleh musuh-musuh. Bezakanlah antara kepentingan-kepentingan peribadi dan kepentingan-kepentingan rakyat.

Kita semua akan mati pada suatu hari nanti dan semua tindakan kita akan tercacat dalam sejarah. Berapa banyakkah kekayaan dan pangkat yang kamu boleh bawa mati? Adakah anak-anak kamu nanti akan bangga dengan kamu? Tanyalah diri sendiri – “Apa misi saya? Apakah yang saya perjuangkan? Adakah untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan-kedudukan lain, ataupun adakah untuk membebaskan tanahair ini dari penindasan penjajah dan ketidakadilan supaya kita semua boleh hidup dengan aman dan dapat menentukan masa depan sendiri? Adakah saya berjuang untuk diri sendiri ataupun rakyat saya?”

Kamu dalah pemimpin. Jangan gadaikan tanahair dan rakyat kamu. Jika kamu keliru, cubalah bertenang, berfikir dan buat renungan. Tuhan akan membimbing kamu ke jalan yang benar. Jangan malu untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan. Mas belum terlewat. Ingatlah bahawa kita semua adalah manusia biasa sahaja.

Sebagai pemimpin, pengikut-pengikut mahukan panduan, maklumat dan nasihat. Mereka menaruh harapan kepada kamu, dan mereka menjangkakan kamu kuat. Apabila saja kamu tahu apa yang hendak dibuat, jangan menoleh ke belakang lagi. Kerana jika kamu begitu, kamu bukan lagi pemimpin. Jika Kuala Lumpur sudah mengawal kehidupan, dasar-dasar, sumber-sumber kita, kehidupan kita di Sabah bukan lagi seperti sediakala. Jadi, pesanan saya kepada kamu ialah BERSATUPADULAH , berganding bahu dan MEMIMPINLAH sebagaimana kamu diundi. Inilah tanahair mu dan politik adalah darah daging mu.

Kepada pemimpin-pemimpin lain di Kuala Lumpur, ada di antara kamu yang memahami kami. Kamu tahu bahawa beberapa rakan politik kamu bertindak keterlaluan, tidak adil dan bersikap kepenjajahan dalam tindakan dan semasa membuat keputusan-keputusan. Kenapa kamu hanya berdiam diri dan membiarkan ketidakadilan dilakukan? Kamu mempunyai fikiran yang waras, kenapa kamu tidak berusaha menyedarkan yang lain?

Apa yang dibuat oleh Mahathir, Ghafar Baba, Mohammad Rahmat, Najib Razak dan Megat Junid tidak lagi boleh diterima. Mereka mengancam, memenjara, menipu dan membohongi semua rakyat Malaysia. Adakah mereka sudah mabuk kuasa? Adakah mereka sudah gila? Kamu adalah berada pada kedudukan yang baik untuk mempengaruhi mereka untuk mengembalikan mereka kepada cara pemikiran yang betul. Bagi kami di Sabah, kami terpaksa bertindak dan membalas. Kami telah terpaksa. Kami berharap kamu semua akan faham.

Kepada pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, polis, askar, SPR dan sebagainya, kamu adalah penjaga rakyat. Saya menyeru supaya kamu melindungi rakyat yang tidak berdosa dan mereka yang memperjuangkan kebebasan. Jangan mematuhi arahan-arahan secara membabi buta.

Saya bukan satu ancaman kepada rakyat tetapi saya mungkin merupakan ancaman kepada Mahathir. Saya adalah suara rakyat. Dan saya juga adalah suara kamu. Jadikanlah diri kamu alat untuk mencapai keamanan dan menjadi pelindung rakyat, bukannya penindas. Pergi dan ambil tindakan ke atas penindas-penindas yang sebenar dan serahkan mereka kepada pengadilan rakyat.

Kepada kawan-kawan saya dan semua orang yang waras, kamu adalah harapan rakyat dan generasi kita. Ini bukanlah perjuangan saya seorang. Ini adalah perjuangan semua manusia yang berperikemanusiaan. Perjuangan untuk kebebasan daripada penindasan, ketidakstabilan dan penjajahan adalah perjuangan hak asasi. Adalah menjadi tugas saya untuk memikul beban ini kea rah destinasi bersama. Jika saya gagal, kamu mesti bersedia untuk meneruskan perjuangan ini. Apabila kita berjaya sampai ke destinasi kita, semua faedah adalah milik kamu.

Saya bukanlah mahu mencari kedudukan tetapi hanya mahu melihat kamu bebas, aman, gembira dan maju. Masa telah sampai bagi rakyat untuk menentukan sendiri masa depan tanahair ini, supaya hasil kesemua sumbangan, kerja, persaingan dan kerjasama dinikmati bersama, tanpa mengira tempat asal dan kepercayaan masing-masing. Inilah destinasi kita. Marilah kita bergerak bersama kearah itu.


Copy By Eyanz Rezky

Isnin, 4 Mac 2013

Takdir Antara Kita


       

            Kisah ini aku ingin kongsikan kepada anda yang berjaya melihat dan membaca ruangan ini tanpa rasa jemu.Sebelum itu aku ingin memohon maaf jika ruangan ini menggangu pencarian ilmu kepada anda yang masih menuntut belajar.Aku juga mengucapkan terima kasih kepada anda yang sudi meluangkan masa untuk membaca dan berkongsi cerita yang ikhlas dan benar dari ku ini.Aku sekadar ingin meluahkan rasa yang terpendam di dalam hati ini sejak sekian lama.Aku ingin membebaskan diri dari segala kekusutan yang ada di dalam jiwa ini supaya aku dapat meneruskan hidup dengan lebih tenang dan sempurna.Jujur aku katakan kisah ini adalah benar yang terjadi dalam hidupku.
                Kisahku ini bermula Ketika aku mula menjejak kaki ke sebuah sekolah di selatan daerah Beaufort.Ketika itu aku  berusia 18 tahun dan berada di kelas tingkatan 6 bawah.Aku datang ke sekolah itu bukan hanya untuk bersuka suka atau bermain cinta.Aku sentiasa berpegang pada janji dan pesan ibu untuk menimba sebanyak mana ilmu yang termampu.Aku yakin aku tidak akan jatuh walau dengan secantik manapun pelajar pelajar perempuan ketika itu,lebih lebih lagi kerana sekolah itu majoritinya beragama islam dan aku pula beragama Kristian.Aku berpegang kuat kepada agama kerana aku di didik dengan ajaran agama kristian sejak aku di lahirkan.
                Setelah hampir enam bulan aku merasai suasana persekolahan di sekolah itu aku berasa sangat gembira.Aku telah mempelajari banyak benda yang tidak aku ketahui.Sifat nakal aku ketika bersekolah di sekolah lama dulu mula terbawa bawa.Tapi aku masih dapat mengawal  kenakalan itu sehingga aku di lantik pelbagai jawatan penting dalam merealisasikan matlamat sekolah tersebut.Aku merasa sangat gembira kerana aku mula dikenali oleh semua pelajar disekolah itu,Bukan hanya kerana kebaikan ku tetapi juga oleh sikap kenakalan ku yang mula kelihatan.
               

                Tahun akhir aku disekolah itu sikap dan sifat ku masih melekat dalam diri.Tiga bulan kemudian iaitu bulan Mac 2008 kenakalan aku semakin menjadi jadi.Sehingga suatu hari aku dapat tahu bahawa seorang pelajar perempuan  telah masuk mendaftar di sekolah itu.Aku juga dapat tahu bahawa  pelajar itu menjadi rebutan kerana paras rupa yang cantik dan penampilannya yang menarik.Sikap kenakalan ku mula timbul dan berlumba lumba untuk mengenali pelajar itu.
                Sebulan kemudian aku berjaya mengenali pelajar itu yang bernama Nurul Fadilla Bzr.
Nyata aku jatuh bukan hanya kerana paras rupa tapi juga penampilan,sikap dan sifatnya yang terlalu baik buat aku.Aku tidak tahu kuasa dari mana yang mampu menjatuhkan hati dan jiwa aku ketika itu.
Sehinggakan aku sakit bila pelajar itu tahu aku juga terlibat dalam perlumbaan untuk mengenalinya dengan lebih rapat.Tapi kekuatan dalam diri dan jiwa ku berjaya memujuk hatinya untuk menerimaku sebagai teman istimewa pada 2 Mei 2008.Dia telah menerima permohonan maaf dariku kerana aku juga benar benar ikhlas terhadapnya.Dalam hubungan kami itu banyak yang telah aku pelajari darinya.Aku berjaya mengurangkan sikap kenakalaku.Aku juga berjaya mematuhi peraturan dalam hubungan iaitu 5K kesabaran,Kasih sayang,kesetian,kejujuran dan keikhlasan.Banyak yang telah kami lalui sepanjang hubungan kami kecuali hubungan TERLARANG meskipun kadang kala syaitan merasuk dalam diri.Banyak pekara yang lucu,pahit manis kami lalui bersama.Sehingga kini kenangan kenangan itu tidak mampu aku lupakan.
                Sehinggalah aku berjaya menamatkan persekolahan di sekolah itu.Aku gembira kerana berjaya mengakhiri persekolahanku dengan baik meskipun keputusan ku kurang memberangsangkan.Lain pula yang dialami olehnya kerana masih ada beberapa tahun lagi untuk menghabiskan persekolahan di situ.Aku dapat rasakan dia mesti terasa sunyi bila kami mula berjauhan.

Biarpun dia mempunyai ramai kawan ketika itu namun aku tahu akulah orang yang paling istimewa buatnya.Begitu juga aku.Bulan di langit itulah yang membuatkan kami saling merindui kerana bila bulan itu muncul kami akan lihat bersama sama.Walau kami berjauhan tapi tetap mampu melihatnya jauh di atas langit.
                Pada pertengahan bulan tahun 2009 aku berjaya mendapat tawaran untuk Melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibu negeri.Aku berasa sangat gembira,perasaan itu aku kongsikan bersama Nurul.Banyak nasihat yang aku terima daripadanya.Sesuatu yang istimewa dalam hubungan kami ialah BERJANJI...Kami tidak pernah untuk melepaskan janji kerana tahu berjanji dalam hubungan cinta jika masih menuntut belajar adalah tidak baik.Kami tahu berjanji ini akan membuatkan seseorang itu terikat pada janji dan amat sukar untuk ditunaikan.Bila tidak dapat ditunaikan hidup tidak akan tenang.kami serahkan sahaja semua itu kepada tuhan.
                Entah mengapa satu ketika masalah mula timbul antara kami.Dalam hal ini aku rasa akulah yang bersalah kerana tidak tahu keadaan sebenar.Hubungan kasih antara kami beakhir begitu sahaja.Tapi aku bersyukur kerana tidak ada dendam antara kami.Segala salah dan silap antara kami sudah saling memaafkan.Tapi hubungan cinta antara kami sudah tiada,Cuma perasaan sayang itu saja akan kami bawa sampai akhir hayat.Amat sukar kami lalui tembok yang memisahkan kami kerana agama kami berbeza meskipun jodoh telah kami serahkan kepada Tuhan..
Seandainya kini ada di antara kami yang telah berumahtangga nama Nurul Adriana pasti akan hadir kerana itulah hakikatnya  Takdir Antara Kita amat menyakitkan.
                Aku memohon maaf jika terdapat kata kata yang tidak sepatutnya digunakan dalam ruangan ini.Aku juga berharap aku akan merasa bebas dan tenang selepas ini kerana telah melepaskan segala yang tersimpan dalam hati dan jiwa ini.
Terima kasih kerana sudi membaca kisah dari ku ini.

By : Eyanz Rezky :)

Inilah Hakikatnya




SAYA belum pernah jejak kaki ke Sabah. Apa yang saya tahu tentang Sabah adalah hasil dari pembacaan dan pergaulan dengan orang yang arif tentang negeri Sabah. Maka mudahnya saya tidak tahu banyak tentang Sabah, sama seperti anda juga yang bukanlah tahu banyak tentang negeri itu. Anda rasa macam tahu banyak tetapi sebenarnya tidak.
Adalah lebih mudah sebenarnya untuk kita semua diam dan mendengar, daripada cuba bersuara tentang perkara yang kita tidak faham. Kita juga yang akan kelihatan bodoh.
Namun demi segala yang benar, bersuara tentang Sabah adalah tanggungjawab yang mesti dilakukan.
Justeru sebagai permulaan, saya harus meminta maaf kerana telah menyebut Sabah itu sebagai sebuah negeri. Saya mana lah tahu rupa-rupanya Sabah adalah sebuah negara. Sama halnya dengan Sarawak.
Anda mungkin keliru dengan apa yang saya sebutkan ini. Mari saya cerahkan.
Pada tahun 1957, bulan Ogos hari ke 31, sebuah negara di Asia Tenggara telah diisytiharkan bebas daripada menumpahkan taat setia kepada Ratu England. Namanya Malaya, hasil gabungan negeri-negeri yang bersekutu dan tidak bersekutu serta dua daripada negeri-negeri selat kecuali Singapura.
Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan lahir daripada gabungan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura kemudiannya merdeka sekali lagi setelah ‘meninggalkan’ Persekutuan Malaysia pada tahun 1965.
Maka mudahnya Malaysia pada tahun 1963 adalah persekutuan hasilan empat buah negara, yang setiap satunya menyertai persekutuan dengan hak dan kelebihan yang tersendiri. Itu antara sebabnya kenapa pihak eksekutif Sabah dan Sarawak dibahasakan sebagai menteri dan bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) seperti di negeri-negeri di Semenanjung.
Itu juga sebabnya kenapa undang-undang imigresen Malaysia Borneo sedikit berbeza, dan anda memerlukan paspot untuk masuk ke sana. Macam masuk Singapura juga kaedahnya, kerana itu secara teknikalnya bukanlah negara anda. Boleh ikut setakat ini?
Kedaulatan Sabah.


Sebagai sebuah ‘negara anggota’ dalam Persekutuan Malaysia, adalah amat menyedihkan apabila fakta menunjukkan bahawa Sabah mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi.
Erna Mahyuni dalam tulisannya di The Malaysian Insider melaporkan bahawa pekan Nabawan di Sabah itu adalah pekan termiskin di dalam negara, dengan kadar kemiskinan setinggi 70 peratus. Saya sangkakan Kelantan negeri paling miskin. Berkesan betul propaganda UMNO ke atas saya.
Tulisan Erna itu lah yang buat saya terdiam sejenak dan betul-betul memikirkan tentang Sabah yang tidak pernah saya jejaki itu.
Menyulap kekayaan rakyat Sabah
Anda juga mungkin menyedari bahawa industri pelancongan negara adalah terjual dengan modal yang datang dari Malaysia Borneo. Sabah terutamanya menyumbang ikon Gunung Kinabalu dan populariti Sipadan serta segala tarikan yang menjadi sandaran kepada ‘betapa Asia-nya’ Malaysia ini.
Ini di samping ikonologi sumbangan Kelantan dan Sarawak, setiap satunya dengan wau bulan, burung enggang, serta tarian-tarian dan tradisi-tradisi yang tidak ada di Kuala Lumpur yang hanya ada tradisi membeli belah dan kesesakan lalulintas.
Maka, ya; Malaysia menjual ikon Sabah, Sarawak dan Kelantan (antara lain) sebagai pusat pelancongan untuk sekalian mat saleh yang menyampah dengan cuaca sejuk. Kebetulan, ketiga-tiganya negeri miskin. Satu daripadanya sudah puluhan tahun ditadbir PAS. Senang betul jadi kerajaan Barisan Nasional ini. Jual populariti negeri-negeri miskin, rompak pula harta kekayaannya, royalti minyaknya juga tak diberi.
Berbalik kepada Sabah.
Pada tahun 1970-an, Sabah berada di kedudukan kedua, di belakang Selangor (dan Kuala Lumpur) sebagai negeri paling kaya di Malaysia. 30 tahun kemudian, Sabah adalah negeri paling miskin dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 2.4 peratus sahaja, di bawah Kelantan.
Bagaikan jatuh ditimpa tangga, bukan sahaja pertumbuhannya kecil, kos sara hidup di Sabah juga amat tinggi bahkan kian meningkat gara-gara polisi kabotaj yang secara langsung meningkatkan harga barang lantaran syarikat perkapalan mengenakan caj tinggi untuk penghantaran barang.
Itu belum dikira royalti petroleum sekadar 5%. Brunei masih ketawa barangkali dengan nasib Sabah yang menerima royalti ciput sedangkan sumbangannya besar sekali..
Malang yang berlarutan
Barisan Nasional selesa di Sabah disebabkan beberapa faktor termasuk kemasukan pendatang asing secara pukal yang kemudiannya diberi kerakyatan sepertimana yang telah diakui oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
Sudahlah rakyat asal terbiar miskin melarat, dibenarkan pula warganegara asing masuk dan diberi kerakyatan sesuka hati demi kemandirian politik pihak-pihak tertentu. Inilah dia dosa besar Barisan Nasional terhadap Sabah secara khusus yang pastinya tidak akan dapat diampunkan sampai bila-bila.
Dalam satu persidangan politisi muda di Manila dua tahun sudah, saya bertemu beberapa politisi muda Filipina menceritakan kisah rakyatnya yang berulang-alik ke Sabah seakan-akan negeri itu sebuah hotel. Mereka bebas masuk keluar mencari rezeki dan kemudian pulang ke Filipina dengan duit berkoyan-koyan, kebanyakannya dengan meniaga rokok seludup.
Sekotak Marlboro di Filipina harganya baru RM2.90. Jual di Malaysia mesti RM10. Cukup untung setahun, sudah boleh bikin rumah batu tiga tingkat. Itu belum dikira imbuhan tolong mengundi Barisan Nasional dalam pilihanraya. Itu juga fakta popular di kalangan politisi Filipina yang saya sendiri tidak begitu arif waktu itu.
Barangkali Barisan Nasional di Sabah dan ketaatannya kepada pimpinan di Putrajaya sudah tidak lagi peduli dan merasakan adalah ‘okay’ untuk rakyat negeri itu dilayan seolah-olah warganegara kelas rendah dikeranakan keterasingannya dan ketidakfahaman Putrajaya ke atas kehendak dan keperluan masyarakat Sabah secara khusus.
Sabah tidak perlu 1Malaysia. Sabah sudah lebih dahulu makmur dengan persefahaman dan toleransi antara kaum tanpa memerlukan simbol 1Malaysia. Yang lebih penting ialah ia sudah cukup menderita di bawah tadbir Barisan Nasional untuk jangkamasa yang terlalu lama dan melampaui had sabar. Sabah tidak lagi mampu untuk duduk angguk dan menerima penindasan berterusan secara berlapang dada.
Suruhanjaya DiRaja hanya kini membongkar hakikat-hakikat yang sudah lama menjadi rahsia terbuka di kalangan orang Sabah.
Militan bersenjata yang singgah berdiam di Lahad Datu juga tidak menerima layanan sepak terajang seperti yang dialami demonstran di perhimpunan Bersih.
Angin perubahan sudah semakin menderu-deru di Sabah; meski politisi Barisan Nasional negeri itu sampai kiamat tidak akan mahu mengaku. Orang Sabah tidaklah bodoh seperti yang mereka sangkakan.
Semoga satu hari nanti saya akan dapat menjejak kaki ke negeri Sabah yang bersih dari jelaga Barisan Nasional. Ini kali-lah!


Top of Form
Copy by Adrian rezky

Ahad, 3 Mac 2013

Apa Dah Jadi??


03 MAC 2013

TERKINI ! KEADAAN DI SEMPORNA DARI PERISIK Sabahkini.net

5 LAGI POLIS TERBUNUH, BERBANGGAKAH KITA?



MATI.....Salah seorang militan yang berjaya ditembak mati di Semporna, manakala kawalan ketat di Semporna bagi memburu saki baki kumpulan militan yang menyerang hendap pasukan polis semalam.


Oleh : MUTALIB M.D

KEMELUT tuntutan 'Sultan Sulu' semakin meruncing ekoran tindakan serangan terbaru di Semporna malam semalam yang melibatkan lima orang anggota polis terbunuh, seorang inspektor wanita dan seorang Datuk ditawan dalam rumah.

Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa lima pegawai polis terbunuh dan dua cedera akibat serangan hendap puak militan walaupun dipercayai bukan kumpulan yang sama.

Bagaimanapun, Pasukan Perisik Sabahkini.net di Semporna mendapat maklumat bahawa puak militan yang mengaku sebagai Tentera Sultan Sulu berada di tiga lokasi yang berbeza di Semporna dan sebentar tadi telah menawan Ketua Daerah Sulabayan, Datuk Malali Haji Mali dirumahnya di Kampung Tagasan, Semporna.

Sehingga ke saat ini PDRM belum mengesahkan berita mengenai nasib Inspektor Azra yang kononnya berjaya ditawan kumpulan militan semalam.

Dalam pada itu tiga orang militan berjaya ditahan di Simpang Jalan Haji Jalan di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; manakala lima lagi dapat meloloskan diri dari kepungan ketat polis berdekatan Tg Labian apabila pasukan keselamatan berjaya mengesan mereka setelah operasi memburu saki baki militan @ tentera Mat Bom dilancarkan.

Menurut penduduk kampung, akibatnya mereka berada dalam kebuluruan kerana terputus bekalan makanan dan setakat ini belum ada sebarang bantuan yang diberikan kepada penduduk di 13 kampung tradisi berkenaan yang terperangkap dan mengalami risiko ditawan puak Militan.

Siasatan Pasukan Perisik Sabahkini.net mendapati bahawa bukan sahaja Suluk, malah Bajau Sibutu, Bajau Simunul dan Iyakan juga turut menjadi 'Tentera Berani Mati' Sultan Sulu yang membentuk sembilan kumpulan.

Setakat ini hanya dua kumpulan sahaja yang memunculkan diri di Kampung Tanduo, Tungku dan Sri Jaya, Simunul, Semporna; manakala enam lagi dipercayai akan menyusul pada bila-bila masa.

Kumpulan militan yang dianggarkan seramai 2,000 orang telah berada di Sabah sejak lima bulan lalu; kebanyakannya adalah warga Penyu yang memiliki IC Projek merancang untuk menyerang dan menawan Tanduo, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan yang sebelum ini adalah Wilayah Sultan Sulu.

Menurut maklumat tidak rasmi Militan Filipina, seramai 2,000 lagi sedang memasuki Sabah melalui Jolo bagi menjalankan Operasi 'Magsabil' (Jihad dan Shahid) untuk menawan Sabah yang sebelum ini didakwa sebagai Tanah Jajahan Sultan Sulu.

Dalam kejadian semalam, satu keluarga yang menjadi Tebusan di Semporna telah dapat diselamatkan oleh Pasukan Keselamatan namun agak malang kerana dua anggota keselamatan terkorban dalam kejadian serang hendap; manakala dua penjenayah berjaya ditembak mati.

Bagaimanapun tiga anggota polis yang terkepung dalam sebuah rumah lain tidak dapat menyelamatkan diri dan tewas di tangan militan menjadikan kesemuanya 5 orang polis terkorban setakat ini.

PDRM juga masih membisu berhubung laporan penculikan Inspektor Azra, sekalipun keluarganya tidak menafikan kemungkinan beliau diculik adalah positif kerana tidak dapat mengesan beliau sejak semalam.

Pasukan Perisik Sabahkini.net turut menerima maklumat bahawa Kunak Kudat, Lahad Datu dan Sandakan akan diserang pada bila-bila masa dan pihak berkuasa telah mengambil berjaga-jaga sejak malam tadi.

Sebentar tadi, (2.45 petang) sekumpulan militan dilaporkan telah mendarat di Kampung Desa Bajau dan pasukan keselamatan sedang bergegas ke lokasi yang dilaporkan penduduk kampung untuk mencegah sebarang kemungkinan; bagi mengelak nasib malang yang menimpa penduduk Simunul semalam berulang.

Nampaknya Sabah akan menghadapi Gelombang Tsunami Reverse Take Over yang mengejutkan jika pihak berkuasa masih 'berhidung tinggi' dan enggan mendapatkan kerjasama penduduk kampung mengesan anggota Militan yang tinggal di kampung berkenaan; sebagaimana kejayaan pasukan keselamatan menahan salah seorang yang disyaki anggota kumpulan militan di Semporna, Haji Tampakan Pehakan.


TEMBAKAN.....Pemandangan kawasan perkampungan air Simunul, Sabah iaitu lokasi tembakan yang mengakibatkan lima anggota polis terkorban dalam kejadian pada Sabtu


Setakat ini PDRM belum mengesahkan tangkapan berkenaan sekalipun Pasukan Keselamatan di Tanduo dan sekitarnya masih menunggu arahan 'Tembak' daripada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara setelah berjaya mengesan saki baki militan berkenaan.

Persoalan yang bermain dibenak anggota keselamatan ialah bagaimana mereka dapat mengenalpasti kumpulan militan kerana wajah, bahasa dan budaya mereka hampir sama dengan penduduk kampung; terutama yang mendapat IC Projek; umpama musuh dalam selimut yang menghalakan peluru kepada kita dan menjadi 'Si Kitul' membenarkan militan masuk demi cita-cita 'kosong' Sultan yang kehilangan negara; Sultan Pasir Berdengung!



Berita yang baru diterima , 1 anggota penceroboh MATI ditembak oleh penduduk kampung Senallang Laut Semporna. Dilaporkan penduduk kampung penuh berani merampas M16 si penceroboh dan terus membedil terus saat itu.